Wednesday, January 18, 2017

Hukum Bagi Wanita Yang Suka Pakai Wangian Di Alat Sulit

Soalan: Dr MAZA, ada soalan yang agak sulit sedikit. Maaf bertanya. Ada yang kata wanita digalakkan mewangikan tubuh dan alat sulitnya ada kata tidak perlu. Dari segi agama apakah perlu seorang wanita ketika mandi wajib selepas haid mewangikan diri dan farajnya, seperti yang pernah saya dengar. Atau memadai sekadar dilalukan air sahaja? Bolehkah guna produk wanita yang pelbagai di pasaran sekarang?

Jawapan Dr MAZA: Ini soalan khas berkaitan pengurusan diri wanita. Berikut jawpan ringkas;
1. Pada asalnya, seorang wanita yang mandi wajib selepas haid itu memadai dengan membersihkan anggotanya terutama faraj atau alat sulitnya, kemudian dipastikan air meratai tubuhnya.


2. Namun hadis Nabi s.a.w juga menunjukkan menggunakan wangian pada tubuh dan faraj semasa mandi wajib adalah disunatkan.
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ أَسْمَاءَ سَأَلَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ غُسْلِ الْمَحِيضِ فَقَالَ تَأْخُذُ إِحْدَاكُنَّ مَاءَهَا وَسِدْرَتَهَا، فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ دَلْكًا شَدِيدًا، حَتَّى تَبْلُغَ شُؤُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تَصُبُّ عَلَيْهَا الْمَاءَ ثُمَّ تَأْخُذُ فِرْصَةً مُمَسَّكَةً فَتَطَهَّرُ بِهَا، فَقَالَتْ أَسْمَاءُ: وَكَيْفَ تَطَهَّرُ بِهَا؟ فَقَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ تَطَهَّرِينَ بِهَا؟! فَقَالَتْ عَائِشَةُ: كَأَنَّهَا تُخْفِي ذَلِكَ. تَتَبَّعِينَ أَثَرَ الدَّمِ. وَسَأَلَتْهُ عَنْ غُسْلِ الْجَنَابَةِ، فَقَالَ: تَأْخُذُ مَاءً فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ أَوْ تُبْلِغُ الطُّهُورَ، ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ حَتَّى تَبْلُغَ شُؤُونَ رَأْسِهَا، ثُمَّ تُفِيضُ عَلَيْهَا الْمَاءَ. فَقَالَتْ عَائِشَةُ: نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الْأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ
Daripada ‘Aisyah: Bahawa Asma bertanya Nabi s.a.w. mengenai mandi wanita haid. Sabda baginda: “Hendaklah seseorang kamu mengambil air dan daun bidaranya, dia bersihkan dengan sebaiknya. Kemudian dia curahkan air ke atas kepalanya dan menggosoknya betul-betul sehingga sampai ke akar rambutnya. Kemudian dia siram ke atas kepalanya air. Kemudian dia ambil kapas yang bercampur kasturi dan dia bersihkan dengannya”. Kata Asma: Bagaimana (cara) dia bersihkan dengannya? Sabda Nabi: Subhana Allah!! Bagaimana engkau hendak bersihkan dengannya?!!. Kata ‘Aisyah: Seakan dia menyembunyikan perkara itu (Dia memperlahankan suaranya agar hanya didengar oleh Nabi s.a.w tetapi tidak didengar oleh orang lain). (Sabda Nabi): “Engkau ikuti kesan darah”. Dia bertanya (pula) tentang mandi junub. Sabda Nabi: “Hendak dia (seseorang perempuan) mengambil air dan bertuhur (berwuduk) serta mengelokkan  tuhur itu atau menyempurnAkan tuhur. Kemudian hendaklah dia curahkan air ke atas kepalanya lalu menggosoknya sehingga ke akar rambut. Kemudian dia mencurahkan air ke atasnya”. Kata ‘Aisyah: “Sebaik-baik wanita, wanita Ansar, malu tidak pernah menghalang mereka bertafaqquh dalam agama. (Riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim. Hadis di atas adalah dengan lafaz al-Imam Muslim. Juga al-Nasai dalam Sunannya, Kitab al-Taharah dan Abu Daud dalam Sunannya, Kitab al-Taharah).

3. Ada beberapa faedah yang boleh diambil daripada hadis di atas, antaranya  RasululLah membenarkan Asma bertanya persoalan yang agak peribadi bagi wanita. Ini menunjukkan guru atau tokoh agama tidak boleh menghalang persoalan-persoalan yang sedemikian jika tujuannya adalah untuk ilmu menimba pengetahuan. Tidak perlu malu dalam masalah hukum-hakam syarak.

4. Juga, hadis ini mengingatkan haid biasanya meninggalkan kesan bau yang kurang enak pada wanita, maka mereka disuruh menggunakan bahan-bahan yang menghilangkan kesan tersebut seperti daun bidara. Kasturi pula sebagai wangian untuk faraj. Tujuannya menghilangkan bau tidak enak dan mendatangkan wangian pada diri dan alat sulit wanita.

5. Penggunaan apa-apa bahan samada bersifat tradisi atau moden yang membantu menghilangkan kesan tersebut dan mewangikan diri, adalah menunaikan tuntutan hadis. Maka wanita disunatkan mencari wangian ketika mandi wajib untuk membersih dan mewangikan tubuh juga faraj atau alat sulit mereka.

6. Diingatkan wanita yang bersuami bahawa melayan suami dengan baik merupakan tanggungjawab. Tubuh dan faraj yang berbau mungkin menimbulkan rasa tidak senang kepada suami. Maka, hendaklah wanita mengelakkan hal itu dan mencari bahan-bahan yang menjadikan suami selesa dengan dirinya.

7. Islam satu agama yang tinggi nilai ketamadunan dan adab yang diajar, sehingga wangian di tubuh dan faraj wanita pun diberikan penjelasan oleh Nabi s.a.w kerana kebersihan dan wangian lambang manusia bertamadun dan beradab.

Hukum Bagi Wanita Yang Suka Pakai Wangian Di Alat Sulit Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Husda Liana

0 comments:

Post a Comment