Wednesday, September 12, 2018

2 Penjenayah di Tembak Mati di Kajang


Dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Nasbandiah, di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sepasukan anggota polis daripada Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan rondaan di Jalan Semenyih, di sini, sebelum menemui kereta Porsche Cayenne dinaiki dua penjenayah terbabit.

“Anggota bertugas membuat semakan secara dalam talian terhadap nombor pendaftaran kereta terbabit dan mendapati kenderaan itu berlainan warna.

“Dalam rekod pendaftaran, kereta itu berwarna putih, namun kenderaan itu dilihat berwarna hitam menyebabkan anggota polis cuba memberhentikan kenderaan itu untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, penjenayah terbabit terus memecut kenderaan mengakibatkan anggota polis mengejar sejauh 4.5 kilometer hingga ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu dua penjenayah itu terbabas sebelum mereka keluar daripada kenderaan terbabit dan melepaskan beberapa das tembakan.

“Dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui beberapa barangan termasuk dua pistol dan dua parang,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati kedua-dua suspek adalah warga tempatan masing-masing berusia 43 serta 36 tahun berasal dari Pandamaran, Klang dan Teluk Panglima Garang.

“Semakan rekod juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah termasuk seorang daripada mereka dikehendaki bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Klang.

“Berdasarkan rekod, suspek pertama menganggotai Geng Devan 360, manakala suspek kedua adalah ahli kumpulan Geng Spider 08 dan kedua-dua mereka ada dalam radar pihak polis,” katanya.

Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek mendapati kereta itu disamun di Pandamaran, Klang, kelmarin.

“Dua suspek itu dipercayai terbabit dengan enam kes samun, pecah rumah dan samun kenderaan mewah.

“Kami percaya ada lagi saki baki kumpulan penjenayah terbabit yang masih diburu,” katanya.

2 Penjenayah di Tembak Mati di Kajang Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Fatin Aneera

0 comments:

Post a Comment