Wednesday, September 12, 2018

7 Cedera Bas Langgar Treler





 Tujuh penumpang sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar cedera selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 170.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, dua penumpang wanita berusia 46 dan 60 tahun mengalami kecederaan patah kaki dan lima penumpang lelaki berusia 14 hingga 50-an cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati bas ekspres dipandu lelaki berusia 40 tahun terbabit dinaiki 23 penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Alor Setar.

Katanya, lori treler dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang membawa muatan besi pula dalam perjalanan dari Johor ke Prai, Pulau Pinang.

"Siasatan awal di tempat kejadian keadaan kawasan kemalangan gelap kerana tiada lampu jalan.

"Dipercayai apabila tiba di tempat kejadian bas ekspres terbabit terlanggar belakang treler yang berada di lorong kiri dan terseret kira-kira 50 meter sebelum kedua-dua kenderaan terhenti.

"Akibat kemalangan itu dua penumpang wanita patah kaki, sementara lima penumpang lelaki cedera ringan manakala pemandu bas ekspres dan treler tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, penumpang yang cedera dihantar dengan ambulans Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.58 pagi.

Katanya, selepas menerima panggilan sebuah jentera pemadam api dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai.

"Apabila tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah treler.

"Kerja penyelamatan pada mangsa yang cedera terus dijalankan sebelum menghantar ke hospital berdekatan untuk tindakan seterusnya," katanya.

7 Cedera Bas Langgar Treler Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Fatin Aneera

0 comments:

Post a Comment