Monday, September 10, 2018

Aduan berkenaan dengan SST boleh disalurkan melalui Aplikasi Whatsapp




 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan alternatif melalui aplikasi WhatsApp untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) khususnya membabitkan kenaikan harga barangan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata pengguna boleh menyalurkan aduan dengan memberikan maklumat lengkap melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019-2794317 sebelum tindakan susulan oleh penguat kuasa KPDNHEP diambil dalam tempoh 24 jam.

Mengulas lanjut beliau berkata, sejak kaedah itu dilancarkan pada 1 September lalu, sebanyak 642 laporan direkodkan dalam tempoh tiga hari dengan aduan paling banyak membabitkan kenaikan harga barangan di restoran dan kad tambah nilai prabayar.

“Kita baharu memulakan inisiatif ini bagi melengkapi lapan lagi saluran yang disediakan kami dalam menyalurkan aduan antaranya melalui laman sosial Facebook, e-mel dan talian bebas tol.

“Apa yang perlu dilakukan pengadu ialah dengan mengambil gambar bukti kenaikan sesuatu harga barangan dan di mana ia berlaku lalu hantarkan maklumat itu melalui nombor 019-2794317 dan anggota penguat kuasa kami datang membuat pemeriksaan dalam tempoh 24 jam, ” katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Saifuddin menghadiri Majlis Taklimat SST kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada masa sama, sejak pelaksanaan SST 1 September lalu, pihaknya mendapati pengurangan harga barangan yang dilaksanakan peniaga tidak begitu ketara iaitu sekitar 0.2 hingga 12.9 peratus.

Katanya, ia berikutan terdapat faktor lain yang menjadi kekangan terhadap penurunan harga barangan secara mendadak termasuk kos pengangkutan dan pembayaran gaji kepada pekerja.

Sementara itu, mengulas tindakan Datuk Seri Najib Razak membuat aduan di laman sosial Twitter mengenai sebuah kedai pau dikenakan SST, Saifuddin berkata beliau ‘menghargai’ kesedaran bekas Perdana Menteri itu terhadap realiti kehidupan dihadapi rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berlapang dada terhadap setiap teguran yang dilakukan terhadap pelaksanaan SST sebelum penambahbaikan boleh dilakukan seperti yang dibuat sebelum ini.

“Kita mengalukan teguran namun jika terdapat serangan dibuat, saya ucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri yang akhirnya berpeluang melihat sendiri derita rakyat.

“Mengenai tegurannya bahawa beli pau pun kena cukai, kita ada sistem di mana setiap perniagaan yang mencecah jualan RM1.5 juta, maka haruslah ia dikenakan cukai, ” katanya.

Aduan berkenaan dengan SST boleh disalurkan melalui Aplikasi Whatsapp Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Fatin Aneera

0 comments:

Post a Comment