Tuesday, September 11, 2018

Mayat Seorang Mangsa Ditemui


Mayat seorang daripada dua remaja yang hilang dan dipercayai lemas ketika bercuti bersama keluarga di Pantai Batu Layar di sini, pagi semalam, ditemui pada jam 5.50 pagi tadi.

Mayat Muhammad Norhakimi Rejab, 18, ditemui terdampar di persisiran pantai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira 500 meter dari lokasi Pangkalan Hadapan SAR ketika air surut.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof, berkata sebaik mayat mangsa disahkan oleh pihak keluarga, pasukan SAR membawa mayat itu ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.

“Usaha mencari seorang lagi mangsa, Noor Rahimi Fithri Ismail, 19, yang masih hilang diteruskan pada hari ini. Mangsa dilaporkan memakai baju merah,” katanya.

Beliau berkata, empat aset laut daripada beberapa agensi iaitu Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) digunakan dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Katanya, pasukan SAR memperluaskan kawasan pencarian sehingga enam batu nautika persegi daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Semalam, dua remaja yang mempunyai pertalian saudara itu hilang pada jam 8 pagi ketika mandi-manda di pantai berkenaan.

Mayat Seorang Mangsa Ditemui Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Fatin Aneera

0 comments:

Post a Comment