Monday, September 10, 2018

PKR sudah jadi kongsi Gelap??


Naib Presiden PKR, Tian Chua kecewa dengan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli kerana mengenepikannya dalam perbincangan berhubung keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

“Sebelum ini anda tak habis-habis bercakap mengenai keterbukaan, ketelusan dan kebenaran. Tapi kini boleh pula mendakwa beberapa orang terpilih boleh membuat keputusan besar untuk parti tanpa berunding dengan orang lain dalam kepimpinan.

“Adakah ini parti demokratik atau kongsi gelap?” tulisnya menerusi Twitter hari ini.

Rafizi yang bertanding menentang Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata bahawa ‘tidak semuanya di PKR’ disampaikan kepada Tian Chua.

Beliau juga berkata bahawa Tian Chua sebagai naib presiden mungkin merasakan bahawa dia tidak terbabit secara langsung dalam perbincangan itu.

“Saya akui ada beberapa perkara yang membabitkan semua pemimpin parti, dan ada perkara yang dibincangkan antara Anwar, Wan Azizah dan saya sendiri,” katanya dalam satu majlis di Kuantan malam tadi.

Tian Chua sebelum ini menyelar Rafizi yang disifatkan mendahului Azizah apabila mengumumkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan minggu depan bagi memberi laluan kepada Anwar memasuki Parlimen dan menjadi perdana menteri ke-8.

Tian Chua memberitahu NSTP bahawa tiada siapa yang mengetahui mengenai langkah itu.

“Sama seperti ‘Langkah Kajang’, tiada siapa yang tahu. Ini harus dibincangkan di peringkat kepimpinan, ia tidak boleh dilakukan secara rahsia, “ katanya.

Menerusi gerak kerja dikenali ‘Langkah Kajang’, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Lee Chin Cheh, meletakkan jawatan bagi membuka jalan kepada PRK Kajang untuk ditandingi Anwar. Strategi itu dikaitkan dengan Rafizi.

Anwar bagaimanapun disabitkan dalam kes Liwat II dan kerusi itu ditangani Wan Azizah dan dimenanginya. Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional dari MCA, Che Mei Fun. Wan Azizah memperoleh 16,741 undi manakala Mei Fun mendapat 11,366 undi, memberikan majoriti sebanyak 5,379.

Wan Azizah kemudian disokong pimpinan parti untuk menjadi menteri besar, tetapi Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu mendakwa dia diberi keizinan untuk terus berkhidmat kerana mendapat sokongan majoriti ADUN.

Selepas beberapa ketika, Khalid meletakkan jawatan dan krisis tamat apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diangkat menjadi Menteri Besar.

PKR sudah jadi kongsi Gelap?? Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Fatin Aneera

0 comments:

Post a Comment